Saturday, 14 August 2010

TARIAN DI MALAYSIA

 SEJARAH TARIAN
Secara umumnya, Kepelbagaian warisan budaya dan kaum di Malaysia paling ketara dilihat pada tarian- tarian yang terdapat di sini. Tarian-tarian kaum seperti Melayu, Cina, dan India iaitu antara kaum majoriti di Malaysia benar-benar eksotik dan menawan. Bagi sesetengah masyarakat, setiap tarian yang diwarisi mempunyai makna yang tersendiri. Kebiasaannya tarian-tarian ini diwarisi secara turun-temurun. Setelah sekian lama kaum Cina dan India menetap di Malaysia, tarian-tarian tradisi negara asal mereka juga menjadi sebahagian daripada warisan dan budaya Malaysia.

JENIS-JENIS TARIAN DI MALAYSIA


TARIAN MELAYU

Silat
Salah satu tradisi Melayu paling tua yang juga merupakan sejenis seni mempertahankan diri bagi masyarakat Melayu. Silat juga adalah suatu seni yang boleh dipersembahkan dalam bentuk tarian. Dengan pergerakan badan yang penuh aksi serta bunga langkah, persembahan silat sememangnya menarik dan mengasyikkan. Tarian seni silat kebiasaannya dipersembahkan pada majlis keraian atau perkahwinan.
  




Zapin
Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, iaitu sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah ini, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan  menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam. Namun setelah berlakunya transformasi zaman, tarian zapin ini telah diubahsuai dan dipersembahkan dalam majlis-majlis tertentu di Johor umumnya. 





Tarian Lilin
Merupakan sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari-penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan. Selain itu, tarian ini telah diberikan nafas baru iaitu disertai penari-penari lelaki dan dimainkan dalam pelbagai rentak moden. 






                          

Mak Yong Melayu
Tarian Mak Yong ini berasal dari Patani iaitu salah sebuah daerah di selatan Thailand. Tarian Mak Yong ini dicipta untuk hiburan kerabat Diraja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat Diraja lelaki. Bagi menjadikan tarian ini lebih menarik, penggabungan drama-drama romantik, tarian berirama dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan telah diserapkan dalam tarian ini. Pada awal kemunculannya, tarian ini mengisahkan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan telah dipopularkan mengikut peredaran zaman.










TARIAN CINA

Tarian Singa
Tarian singa lazimnya dipersembahkan ketika perayaan hari Tahun Baru Cina. Tarian Singa merupakan salah satu persembahan yang penuh bertenaga dan menghiburkan. Menurut lagenda, singa adalah satu-satunya haiwan yang boleh menghalang Nian – sejenis haiwan dongeng yang selalu menyerang negara China dan mengorbankan manusia pada hari sebelum Tahun Baru Cina. Bagi menjayakan tarian ini, pergerakan singa biasanya disesuaikan dengan kostum singa yang telah dihasilkan. Kostum singa ini dimainkan oleh dua penari. Seorang penari akan menggerakkan kepala kostum, manakala pasangan penari akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Kedua-dua penari akan bergerak-gerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian singa ini akan diiringi oleh paluan gong, dram dan dentuman mercun yang dikatakan membawa tuah.




Tarian Naga
Naga adalah sejenis haiwan dongeng yang melambangkan kuasa luarbiasa, kebaikan, kesuburan, kewaspadaan serta kehormatan dalam budaya Cina. Tarian Naga lazimnya dipersembahkan ketika sambutan Tahun Baru Cina. Tarian ini juga dipercayai membawa tuah dan kekayaan bagi tahun yang baru. Selain itu, tarian naga merupakan sebuah tarian bersemangat yang sentiasa diiringi paluan gendang tagu Cina, dan simbal, serta memerlukan keberanian dan penataan gerak tarian yang tepat diantara penari-penarinya Tarian ini selalunya memerlukan seramai 60 orang penari yang mahir bagi mempertunjukkan persembahan. Tarian naga ini dipersembahkan dengan penuh kepakaran, keanggunan serta penataan gerak tarian yang tepat bagi menjadikannya seakan-akan naga yang bergerak..





TARIAN INDIA


BharathaNatyam

Tarian Bharata Natyam merupakan salah satu gaya tarian klasik India. Tarian klasik Bharata Natyam merupakan salah satu tarian yang penuh dengan tradisi dan dramatik. Bagi menguasai tarian ini, masa yang lama perlu diambil kerana terdapat pelbagai gerakan tangan, kaki dan mata yang harus dipelajari secara mendalam demi mempersembahkan tarian warisan lama yang dihormati ini secara lengkap dan penuh dengan kegemilangan. Tarian ini berasal dari wilayah Tamil Naidu di bahagian Selatan India. Secara tradisionalnya, tarian ini dipersembahkan secara solo oleh seorang penari wanita. Suatu persembahan yang lengkap dalam tarian ini merangkumi enam peringkat iaitu dikenali sebagai Alarippu, Jatiswaram, Sabdam, Varnam, Padam dan Thillana. Peringkat-peringkat ini menggabungkan elemen Nritta atau tarian tulen dan Nritya( Tarian Ekspressi ).




HASSAN BIN HAD
204831

1 comment:

BAHASA MELAYU PENGURUSAN said...
This comment has been removed by the author.